Malam ni jam 9malam, saya dan kawan-kawan ingin masuk ke Raudah.
Saya sudah excited. Tak sabar mahu berjumpa dengan Rasulullah.
Di Madinah, terasa sangat dekat dengan Rasulullah.
Nak marah suami, saya ngadu pada Allah dan pada Rasulullah. Kalau pelik dengan perangai orang, ngadu ngan Rasulullah. Bila orang bersesak-sesak tolak-tolak, saya tanya Rasulullah. Walaupun saya tahu, Rasulullah tak dapat jawab. Tapi saya yakin Allah dan Rasulullah dengar apa yang saya katakan.
Yang hairannya, saya akan dapat bertenang dengan cepat bila saya mengadu. Bila saya menangis dan marah, saya akan tenang dan saya boleh mengawal kemarahan itu dengan baik. Allah, nikmatnya terasa bila kita mengadu dengan Allah dan Rasulullah. Sungguh!
Dan sekarang saya dah balik dari Raudah.
Kata kawan, muka saya kelihatan pucat bila keluar dari sana.. Ya. Saya kepenatan di tolak, dihimpit, ditindih. Tetiba saya rasa, inilah kelebihan menjadi orang yang tidak mempunyai berat badan yang stabil. Saya gelakkan diri sendiri. (Siapa suruh kau diet?!!)
Semasa ingin memasuki Raudah, saya tidak dapat membayangkan bahawa saya akan dapat solat disana. Tapi fikiran saya tetap positif, Allah akan bagi saya kesempatan itu. Saya percaya.
Keadaan sebelum memasuki Raudah sangat membuatkan saya membuka mulut dan mata seluasnya.
Saya membuka mulut melopong kerana terkejut melihat keterujaan Muslimat untuk bertemu Rasulullah. Dah macam budak-budak histeria bila berjumpa artis k-pop. Terjerit-jerit dan menyerbu dengan rakus tanpa menghiraukan orang lain. Allahuakbar. Dalam fikiran saya tertanya, Adakah masjid Nabawi ini tidak dapat mendidik jiwa mereka dengan bersikap toleransi sesama manusia? Bukankah orang yang kamu hendak jumpa itu adalah utusan agong yang sangat bersifat lemah lembut? Bukankah Rasulullah sangat menjaga hati dan perasaan orang.? Tidak kamu mengambil contoh dari akhlak Rasulullah?
Wallahua'lam. Saya tidak pasti kenapa kah perkara seperti ini boleh terjadi. Padahal papan tanda sudah ditampal dan peringatan dari polis-polis perempuan yang menjaga sudah ada. Tapi kenapa kita masih mementingkan diri sendiri? Bukankah sifat ihsan sesama islam itu patut di amalkan untuk kemaslahatan umum?
Orang yang kita tolak-tolak itu bukan orang lain. Saudara seislam kita. Tidakkah kita mengambil pengajaran dari kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar? Yang saling ingin berkorban terhadap saudara mereka walhal mereka tidak mengenali satu sama lain..
Banyak persoalan yang saya tanya diri sendiri semenjak saya berada di Masjid al-Haram dan sekarang di Masjid Nabawi. Dan persoalan itu tinggal persoalan sahaja. Saya selalu berdoa mudahan Allah memberi saya peluang dengan menghantar sesiapa sahaja kepada saya untuk memberi jawapan kepada pertanyaan saya yang tidak pernah ada penghujungnya.
Insya Allah. Allah pasti menghantar mereka yang lebih arif untuk menjawab semua soalan saya. Saya percaya.
Gambar kenangan setelah kepenatan di Raudah. Sangat indah perasaan ini. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Senyum.
Nukilan,
Azura
Madinah
26.12.2016 - 516pm
Pengalaman di Raudah, Taman-Taman Syurga
Madinah di hari pertama.
Hari pertama di Madinah.
Hari ni mutawif bawak ke pasar kurma. Ya Allah. Di sini kurmanya murah dan berjenis-jenis. Pilihannya terlalu banyak. Sehinggakan saya sudah rambang mata untuk memilih. Hampir atau lebih 150 buah kedai menurut mutawif.
Tips yang diberikan oleh mutawif untuk memilih kurma ajwa.
1. Kurma Ajwa terbahagi kepada 3 bahagian.
Satu, kurma Ajwa ori yang pokoknya adalah pokok benih yang Rasulullah s.a.w tanam di Madinah tanah Haram.
Kedua, kurma Ajwa yang ditanam di Madinah juga tapi luar dari tanah Haram. Maksudnya ditanam di tanah halal.
Ketiga, kurma Ajwa yang ditanam di luar Madinah.
2. Kurma Ajwa yang original adalah berharga 60 riyal dan ke atas. Yang kurang harganya itu harus berhati-hati.
3. Kurma Ajwa yang ditanam dari pokok benih Rasulullah perlu ditanya tauke. Sebab dia simpan di tempat penyimpanan yang asing. Jika orang bertanya, baru dikeluarkan.
4. Biasanya kurma Ajwa yang datangnya dari Madinah tanah halal berharga 30 riyal - 60 riyal per kg. Kalau lebih, jangan beli.
5. Bila ditanya macam mana kita ingin bezakan kurma original atau tidak, kata mutawif, hanya penjual atau tauke sahaja yang boleh menjawabnya. So, perlu tanya tauke terlebih dahulu, baru buat keputusan untuk membelinya. Ini untuk yang berminat dengan kurma Ajwa original sahaja.
Allahuakbar. Dapat satu ilmu.
Terungkai persoalan saya selama ini.
Kes di tutup. Hehe.
Jadi, sesiapa yang datang ke Madinah, boleh la berkunjung ke sini.
Selamat bershopping.
Tapi jangan plak lupa, zohor di Masjid Nabawi pahalanya 1000 kali ganda. So perlu beringat, jangan shopping sampai lupa solat berjemaah. Hehe. Rugi datang jauh-jauh.
Sambil menyelam minum air lah..
Nukilan,
Azura
Madinah
25.12.2016 - 234pm
Masjid Nabawi
Alhamdulillah. Saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah yang Maha Berkuasa seluruh alam. Akhirnya, Allah memberi rezeki saya menjejakkan kaki ke sini. Alhamdulillah, jemputan Allah saya sambut dengan penuh rasa kesyukuran yang tidakk terhingga.
Suasana di Masjid Nabawi langsung tidak sama dengan Masjid al-Haram. Di sini keadaan nya teratur. Ada pintu untuk perempuan dan ada pintu untuk lelaki. Untuk ke Raudah pun ada masa yang telah ditetapkan. Lebih berdisiplin jika begitu. Ini semua orang tahu. Betul kan? Sama ada berpengalaman atau tidak saje. Kita semua pernah mendengar cerita-cerita yang meniti di bibir-bibir para jemaah jika pulang ke tanah tumpah darah.
Saya pernah juga mengutarakan kenapa Masjid al-Haram tidak mengasingkan lelaki dan perempuan pada seorang ustaz. Saya bukan mahu melawan hukum Allah. Cuma sekadar ingin tahu hikmahnya dari mata seorang ustaz.
Katanya, Masjid al-Haram mempunyai Kaabah. Punyai tempat saie juga. Jika pihak pengurusan membuat pintu nisa' dan pintu rijal, tawaf dan saie amat susah untuk dilaksanakan. Sebab masing-masing ada mahram. Jadi...ia dikekalkan seperti begini.
Hm.. saya akuinya. Dalam ramai-ramai manusia disini, susah mahu dicari mahram kita jika kita berseorangan. Sebenarnya ia sukar dijelaskan. Ya. Sangat sukar. Hanya dengan merasainya sendiri barulah kita faham.
Dulu saya selalu tertanya-tanya.
Sekarang, saya sudah mendapatkan jawapannya.
Terkadang, ada sesetengah perkara tak dapat kita rungkaikan dengan kata-kata.
Marilah sama-sama kita merasai pengalaman rohani ini. Saya doakan semua.
Nukilan,
Azura
Madinah
25.12.2016 - 751am
Tawaf Wida'.
Tawaf wida'.
Setiap orang yang datang ke Tanah Haram, menziarahi masjid paling agong di dunia, akan bertemu tawaf wida'.
Dan masa ini, air mata saya bercucuran. Demi Allah, perasaan galau begini tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Saya berjalan dengan laju. Mengingatkan diri, jangan menoleh ke belakang dan berdoa dengan penuh pengharapan, agar Allah menjemput saya kembali. Tidak hanya saya, tapi Saya, keluarga, sanak saudara, dan seluruh zuriat keturunan saya serta kawan-kawan juga.
Saya menangis semahunya.
Sesungguhnya, dijemput ke Masjid al-Haram adalah satu perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan semua aspek.
Kekuatan jasmani melawan rasa penat yang melampau.
Kekuatan hati melawan nafsu yang sentiasa berbolak balik.
Kekuatan jiwa yang kita penuhi nya dengan keredaan dan kebergantungan kepada Allah.
Kekuatan akal untuk berfikir bahawa di mana sahaja ade satu bisikan yang telah dijanjikan hingga ke hari kiamat. Iaitu syaitan. Maka berhati-hatilah dan mohonlah perlindungan dari yang Maha Berkuasa.
Teringat kata seorang Ustaz saya, Ustaz Shafiee. Katanya, "Semakin tinggi keimanan seseorang, semakin kuat godaannya. Semakin kuat godaannya, itu bermakna semakin berpangkat syaitan yang datang."
Orang yang hebat keimanan nya akan datang kepada nya ujian yang hebat juga. Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk. Cuba bersabar dengan ujian adalah baik, bukan?
Di al-Haram, saya rasa sangat terdidik. Di sini saya merasakan Allah melatih umatnya menjadi seorang manusia. Bukan manusia biasa. Tetapi manusia luar biasa. Manusia yang lengkap dengan semua sifat mahmudah. Yang jika kita amalkan selepas kembali ke bumi tanah tumpah darah, akan mendapat ganjaran yang lumayan.
Bukan kah berbuat baik dan jahat itu sama susahnya? Yang mana, keduanya mendapat ganjaran dari Allah. Bezanya adalah ganjaran syurga atau neraka.
Jika sama, kenapa kita tidak sahaja memilih untuk bersifat dengan sifat mahmudah?
Sebenarnya, kita yang mencoraknya. Ke syurga kah kita atau ke neraka kah kita?
Janji Allah itu pasti.
Saya semakin risau memikirkannya.
Dimanakah tempat selayaknya untuk saya. (Bagus soalan ni untuk tanya diri sendiri.)
Nukilan,
Azura
Madinah
24.12.2016 - 819pm
Hari terakhir di Masjidil Haram buat kali ini.
Mendongak dengan penuh pengharapan.
Pada Mu penguasa alam, tuhan yang Maha Agung.
Mengharapkan Mu ya Allah, menerima segala amal ibadatku.
Mengharapkan Mu ya Rahman, mengampunkan dosa ku.
Mengharapkan Mu ya Rahim, menerima semua taubatku.
Bantulah aku ya Allah, untuk berubah ke arah yang lebih baik. Ya. Lebih baik dari sekarang. Dan terus istiqamah berada dalam kebaikan.
Hantarlah kepada ku rahmat Mu yang Maha luas. Mudahan hidup ku sentiasa diberkati dan dilindungi oleh Mu. Sentiasa.
Nukilan,
Azura,
Mecca,
24.12.2016 - 10.37am
Buku Doa...
Hari ketiga di Masjidil Haram.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Allah mengurniakan nikmat terbesar dalam hidup saya. Saya rasa, sangat menenangkan diri di sini. Itulah impian semua orang bila hadir ke sini kan. Mahu beribadat dan menenangkan hati ikhlas kerana Allah.
Natijahnya, akan beroleh haji atau umrah yang mabrur.
Sebelum ke sini, saya tulis doa di dalam buku. Saya menulis doa kursus untuk semua orang yang saya mahu doakan. Ade yang mahu saya doakan, saya doakan. Ade juga yang tidak diminta untuk didoakan. Tapi dengan rela hati saya doakan. Mungkin doa khusus dari seorang sahabat.
Saya harap semua doa yang kawan-kawan kirimkan dimakbulkan..
Ya Allah, kuatkan aku sekuat hajar.
Ya Allah.
Bagaimana kah aku ingin sekuat hajar? jika hajar berlari berbumbungkan langit. Dan aku pula berlari berbumbungkan kipas.
Ya Rahman.
Bagaimana kah aku ingin sekental hajar? Jika hajar berlari berlantaikan pasir, aku pula berlantaikan marmar indah.
Ya Rahim.
Bagaimana kah aku ingin setabah Hajar? Jika Hajar diselimuti teriknya matahari tetapi aku diselimuti penghawa dingin di kiri dan kanan.
Ya Aziz.
Bagaimana kah aku ingin seteguh Hajar? Jika Hajar sedia mentaati Ibrahim yang menghantarnya ke padang tandus. Tapi aku datang ke sini dengan semua kelengkapan yang ade.
Ya Allah Ya Razzaq.
Aku memang tidak akan sekuat Hajar, aku memang tidak akan sekental Hajar, aku memang tidak akan setabah Hajar, aku memang tidak seteguh Hajar.
Tapi ya Allah, berilah aku peluang untuk merasakan satu perjalanan rohani yang aku juga boleh merasakan bahawa aku juga perlu teguh seperti Hajar. Aku juga mesti kuat seperti Hajar. Aku juga harus tabah seperti Hajar. Dan aku juga perlu kental seperti Hajar.
Perjalanan rohani ini tidak akan hadir dengan keizinan mu ya Allah. Jadi ya Rahman, jemputlah aku dan keluarga ku serta seluruh keturunan ku ke sini lagi. Menemui mu. Merasai perjalanan rohani yang indah dan menenangkan ini. Merasai pengorbanan Hajar sepenuhnya.
Kabulkanlah doa ku ya Allah ya Rahman ya Rahim..
Nukilan,
Azura,
Mecca,
23.12.2016 12.03pm





